Wednesday, July 10, 2013

Diganggu Sewaktu Menonton Filem Seram


Assalamualaikum para pendengar MJ12,
Saya orang Indonesia, dan saya tergolong orang yang penakut. Walaupun penakut, saya ni memang sangat suka mendengar dan menonton cerita / filem yang seram, lagi seram lagi lah suka. Semenjak saya tahu menggunakan internet, saya gemar memuat-turun filem2 seram, yang baru mahupun yang dah lama. Tapi, saya lebih suka membeli dalam format dvd, dan kebanyakannya saya membeli secara online. Saya tak kira dari Thailand, Hong Kong, Jepun, Amerika, Indonesia, semuanya saya beli, asalkan ada sarikata terjemahan.

Kejadian ini saya alami di rumah saya sendiri, setahun yang lalu. Saya dulu bekerja di Malaysia bersama suami selama enam tahun. Setelah lebih kurang dua tahun, kami dapat menabung dan membuat rumah untuk kami di kampung saya. Setelah setahun, rumah kami pun siap. Walaupun rumah kami dah siap, tapi kami suami isteri masih lagi bekerja di Malaysia, kerana kami masih mahu menabung untuk kehidupan kami nanti. Jadi, terpaksalah rumah kami dikosongkan, hanya seminggu sekali ibu & adik menolong kami untuk membersihkan. Saya tahu jika rumah yang dikosongkan lama, kemungkinan akan ada sesuatu. Tapi kami terpaksa demi mahu menabung untuk masa depan.

Setelah lebih tiga tahun, kami suami isteri pun pulang ke kampung. Kami tak lupa mengadakan kenduri & majlis tahlil untuk rumah baru kami. Setelah itu kami pun terus mendiaminya. Entah perasaan belum terbiasa lagi dengan rumah sendiri, saya rasa semacam, tak kira pada waktu siang ataupun malam hari, tetapi saya tak mahu fikir yang negatif.
Setelah sebulan, keluarga suami datang ke rumah kami, mereka semua datang pada waktu pagi, jadi terpaksalah saya melayan mereka seharian. Pada mulanya, saya teringin sangat menonton dvd yang baru dibeli, tapi saya tundakan rancangan itu. Dalam hati berkata, "Biarlah malam saja baru tonton..." Setelah lebih kurang jam 10 malam, mereka semuanya masuk tidur. Rumah pun dah sunyi, saya pun mula nak tonton dvd saya. Ini merupakan filem seram yang dah lama saya cari, jadi terasa begitu seronok hendak menonton. Saya biasa menonton menggunakan komputer riba, tapi malam itu bateri komputer riba luput. Jadi terpaksalah, saya pun terus saja menonton menggunakan pemain dvd yang terletak di tempat yang sama dengan televisyen di ruang tamu.

Kerana saya ni jenis penakut, saya pun hidupkan semua lampu yang ada dalam rumah. Dalam hati bercakap,"Kalau lampu semua dah hidup, tak rasa takut lagi..." Memang ini filem Indonesia terseram, saya pun terus menonton dengan tenangnya. Awalnya memang saya tenang, tapi dua puluh minit sebelum filem selesai, tiba-tiba saya rasa sejuk, dan bulu roma semua naik. Jam dah menunjukkan 11:50 malam, dan seingat saya, kipas angin kuat sangat, sebab itu terasa sejuk.

Saya terus matikan kipas. Sehabis saja kipas dimatikan, saya pusing kembali ke arah televisyen, tetapi dengan tiba-tiba saya ternampak sesuatu di sudut ruang tamu, tapi saya tak pasti, kerana saya tadi berpusing dengan cepat. Berderau darah saya dibuatnya!!! Untuk menyakinkan apa yang saya lihat tadi, saya beranikan diri untuk melihat kembali benda tersebut. ASTAGHFIRULLAH!!! Saya melihat susuk tubuh seperti perempuan berambut panjang, berdiri tegak. Saya tak tahu apa nak cakap dan cepat-cepat lari ke bilik. Saya menangis kerana takut dan cepat-cepat mengejutkan suami. Suami terkejut melihat saya cemas dan menangis.

"Kenapa ni???" Tanya dia. Saya pun jawab, "Aku nampak hantu di ruang tamu, cepatlah awak pergi tengok..." Sewaktu suami pergi melihat, benda itu dah lenyap. Hanya Allah saja yang tahu apa yang saya ternampak pada malam itu.
Terima kasih. Wassalam...

No comments:

Post a Comment