Wednesday, July 10, 2013

Kisah-kisah dari pendengar di Perak


Assalamualaikum kepada DJ KC serta para pendengar,

Saya Finaz dari Perak. Saya pernah mengirim beberapa keping gambar untuk dikongsi bersama dan kali ini saya akan berkongsi beberapa pengalaman yang pernah saya alami.


KISAH 1:

Dulu, saya tinggal di sebuah kuarters lama kerana emak saya bekerja sebagai jururawat. Rumah saya dulu ini sebuah banglo lama yang besar. Mempunyai tiga ruang tamu, empat bilik, satu dapur dan tiga bilik air. Namun rumah ini tidak berpenghuni sejak empat puluh tahun dulu. Namun selepas emak dapat tawaran dari doktor untuk menghuni sebuah rumah kuarters banglo yang berbukit, kami terus berpindah ke sini. Setelah beberapa minggu mengemas, dan mencuci rumah dan menghuni, saya dan keluarga sering mendapat gangguan yang pelik. Misalnya, pada kejadian malam pertama, pada pukul 3 pagi, saya pernah mendengar suara orang menangis sebanyak enam kali! Saya ingatkan ayah saudara saya yang berjaga dan mungkin sedang menonton cerita-cerita seram. Malam kejadian yang kedua juga begitu dan pada malam ketiganya saya sudah rasa lain macam kerana jika ayah saudara saya menonton cerita-cerita sekali dua, mungkin boleh diterima akal namun takkanlah bunyi yang sama setiap jam 3 pagi? Keesokannya, saya memberitahu kepada emak saya dan emak saya berkata mungkin apa yang saya dengar selama tiga hari berturut-turut setiap jam 3 pagi adalah Pontianak kerana pernah beberapa orang pekerja Telekom pernah terlihat dan terdengar Pontianak menangis dan berlegar-legar di atas bumbung rumah saya ketika rumah banglo itu belum dihuni.


KISAH 2:

Masa umur saya sepuluh tahun, ibu bapa saya telah mengadakan jamuan hari lahir adik saya yang ke-lima tahun. Kami mengadakan jamuan tersebut di luar rumah kerana cuaca pada malam itu amat menyenangkan serta udaranya yang segar. Pada malam itu, kami telah menjemput beberapa jiran terdekat yang berada di kawasan rumah kami. Dipendekkan cerita, selesai menyambut hari lahir, tiba-tiba adik saya menangis dan merengek-rengek. Mak saya cuba memujuk adik saya namun tidak juga berhenti dari menangis. Malam itu, hati saya tidak berapa senang dan saya menyuruh ibu saya membaca Ayat Kursi. Alhamdulillah adik saya berhenti menangis. Tapi, saya masih tidak puas hati kerana saya dapat merasakan bahawa ada yang tidak kena pada malam tersebut. Tanpa melengah-lengahkan masa, saya cuba mengambil beberapa gambar secara rawak dengan menggunakan telefon berkamera. Setelah selesai, saya pun masuk ke dalam dan membasuhkan kaki lalu terus tidur. Keesokkan harinya, saya cuba membelek-belek kembali gambar yang saya telah ambil dan alangkah terkejutnya saya bahawa terdapat tiga keping gambar POCONG yang terbang!!! Di antara tiga keping gambar yang saya dapat, gambar ketiga yang paling menyeramkan kerana pocong itu berkain kafan warna putih bercampur darah, mempunyai gigi taring dan mulut berdarah, hidungnya panjang, mukanya berwarna hijau sambil TERSENYUM! Saya menunjukkan gambar tersebut kepada kakak-kakak saya. Kakak saya menyuruh saya memadam gambar tersebut, takut-takut ada benda yang tidak diingini berlaku.

 
KISAH 3:

Pada satu malam Jumaat sekitar pukul sebelas malam, saya, adik, ayah saudara serta kakak saya sahaja yang berada di rumah kerana kedua-dua ibu bapa saya telah menghadiri kursus kerja masing-masing. Ketika saya menonton televisyen di ruang tamu, tiba-tiba hati saya terasa sedih teringatkan arwah makcik saya yang telah lama meninggal. Semasa saya melayan perasaan sedih, tiba-tiba mata saya terpandang ke satu tingkap di mana saya telah terlihat satu bentuk badan seperti manusia. Mula-mula saya fikirkan ianya ayah saudara saya, rupa-rupanya ia adalah POCONG! Ia berdiri tegak dan memandang ke arah saya! Saya dapat lihat bagaimana bentuk pocong! Di bunjut kepalanya berikat serta di badannya juga sama seperti mayat dikafankan. Lalu, saya berlari ke arah ayah saudara saya yang ketika itu berada di dapur. Saya beritahu ayah saudara saya yang saya terlihat pocong di tepi tingkap. Selepas itu muncul pula adik saya memberitahu bahawa dia juga ternampak pocong yang sama di tingkap! Saya pun bertanya, "Eh macamana kau boleh nampak?” lalu adik saya berkata, “Nampaklah, sebab orang pergi bilik air belakang nak kencing. Tiba-tiba ternampak benda putih macam orang kena balut kain putih, tu yang orang tak jadi kencing!” Lalu ayah saudara saya pun keluar mengikut pintu belakang untuk melihat, malangnya tiada apa yang berada di tingkap!


KISAH 4:

Kisah yang terakhir ini berlaku kira-kira 3-4 tahun lepas di mana saya telah ‘dihempap’ oleh ‘sesuatu’ benda yang sangat besar, berat dan berbulu. Ketika ‘benda’ itu menghempap saya, saya sukar bernafas dan cuba melawan dengan membaca ayat-ayat suci Al-Qur'an namun makin dibaca, makin melawanlah ‘benda’ itu. Tetapi saya kuatkan hati untuk melawan ‘benda’ yang menghempap saya sehinggalah azan Subuh barulah ‘ia’ pergi.

Untuk pengetahuan semua, menurut kata orang-orang lama, tapak kuarters yang saya duduki sekarang adalah bekas tapak Tentera Jepun yang pernah menjalankan aktiviti mendera serta memancung kepala orang pada zaman dahulu. Saya akan berkongsi bermacam-macam cerita kepada anda nanti di lain hari.

TERIMA KASIH FINAZ!!!

1 comment: