| Siapa di sini pernah berkhidmat sebagai
penggali kubur? Tidak ramai sebenarnya yang menceburi atau mencuba untuk
mencari pengalaman sebagai penggali kubur. sengaja berkongsi sebuah cerita tentang pengalaman seorang
penggali kubur yang sudah berpengalaman lebih 30 tahun.
Bayangkanlah jika kita menggali kubur pada
waktu malam.
Ada yang menganggap ia satu yang menakutkan. Jom ikuti kisah di bawah
ini.
Sesetengah orang menganggap
tanah perkuburan satu tempat yang menakutkan. Namun bagi Sri
Mulyadi Sri Soetarmanto, 47, tanah perkuburan boleh memberi ketenangan.
Setelah lebih 30 tahun berkhidmat sebagai penggali kubur, Sri
menganggap inilah dunianya.
Sejak kecil, anak kesembilan daripada 12
beradik ini sudah biasa mengikut bapa menguruskan jenazah dan
menggali kubur di Sungai Bertik, Klang, Selangor. Malah hari
ini, Sri memikul tanggungjawab sama di kampung halamannya itu selain
bertugas di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam di bawah Majlis
Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Asalnya saya hanya perhatikan ayah.
Lama-lama minat datang dengan sendiri bila ayah minta saya warisi
tugasnya. Kata ayah, kalau tak ada anak muda yang sambung, lama-lama tak
ada orang boleh laksanakan fardu kifayah ini,” ujar Sri.
Sudah rezeki, dia sangat bersyukur
apabila diterima bekerja tetap bersama MBSA mulai 1984 walaupun pada
asalnya hanya mengambil upah mengorek longkang.
Pernah melalui zaman di mana mayat
dibawa menaiki basikal dan digandar dengan buluh untuk dibawa ke tanah
perkuburan ketika masih kecil, Sri menyatakan kerja menggali kubur juga
melalui peredaran masa. Jika dahulu satu liang lahad mengambil
masa empat jam setengah untuk digali menggunakan cangkul, kini
masa dan tenaga dijimatkan dengan penggunaan van jenazah dan jengkaut.
“Dahulu purata pengebumian hanya empat
ke lima orang sahaja sebulan. Sekarang ini boleh sampai 48 orang,” ujar
Sri, merujuk kepada tanah perkuburan tempatnya berkhidmat.
Sedia 24 jam
Selain Sri yang paling lama bertugas
sebagai penggali kubur di bawah MBSA, dia mempunyai empat rakan sekerja
lain iaitu Zuraimi Chesman, Muhammad Asri Nasarudin, Ahmad Jali Suwarno
dan Mohd Ramli Mat Isa. Mereka bekerja di bawah seliaan Noor Esa Sahid,
50, bagi Jabatan Perkhidmatan Bandar.
Kebiasaannya, liang lahad akan digali
sebaik sahaja mereka menerima panggilan telefon memaklumkan terdapat
kematian. Daftar kematian atau permit mengubur turut diperlukan dari
hospital atau balai polis sebagai bukti. Mengikut Petunjuk Prestasi
Utama (KPI), liang lahad mesti selesai digali dalam masa dua jam
sebaik berita diperoleh.
“Dulu bila nak terima berita kematian,
ada juga rasa lain macam seperti gatal tangan atau sakit bahu. Tapi bila
dah lama bekerja dan kadar kematian makin tinggi, dah tak rasa apa dah.
“Apa pun, bagi saya niat mesti baik dan
ikhlas. Jangan simpan rasa buruk sangka terhadap jenazah yang hendak
dikebumikan kerana hanya ALLAH yang maha mengetahui,” ucap Sri sambil
berseloroh, janji dengan orang mati lebih senang berbanding
dengan yang masih hidup.
“Jenazah biasanya dikebumikan pada waktu
siang. Tapi ada juga kes seperti mayat tidak boleh disimpan di rumah
atas kebenaran doktor, sudah berbau, terlibat dalam kemalangan ngeri,
pesakit HIV atau meninggal di luar negara yang memerlukan pengebumian
segera,” tambahnya.
Waktu kerja Sri dan rakan-rakan sama
seperti waktu pejabat dan bercuti pada Sabtu dan Ahad. Begitu pun,
penggali kubur mesti bersedia 24 jam. Tidak hairanlah, cuti
tahunan masih banyak berbaki.
Bagi Sri, komitmen tidak berbelah bahagi
terhadap kerjanya terserlah apabila dia masih ke kubur untuk menggali
liang lahad pada hari pernikahannya sebelas tahun dulu.
Rakannya, Jali Suwarno pula
sanggup meninggalkan majlis pertunangan anak demi tuntutan tugas dan
menunaikan tanggungjawab tersebut.
Dapat dua ‘gaji’
Apabila sudah biasa menggali liang
lahad, perasaan Sri sudah sebati terhadap kuburan. Begitu pun sebagai
manusia biasa, dia pernah melalui pengalaman sedih apabila terpaksa
menggali pusara demi insan rapat dan disayangi dalam hidupnya.
“Selain abang kandung dan bapa mentua,
saya pernah uruskan jenazah kawan baik yang meninggal dunia dalam
keadaan tak disangka-sangka.
“Seorang daripadanya baru sahaja makan
malam bersama saya. Tiba-tiba esoknya saya dimaklumkan dia sudah tiada
akibat kemalangan.
“Seorang lagi, ceritakan masalah
keluarga dan minta pandangan. Saya nasihatkan dia pulang minta maaf dan
cium tangan orang tua. Siapa sangka, dia meninggal dunia dalam
perjalanan pulang tersebut,” cerita Sri.
Selain itu, dia melalui pengalaman yang
dirasakan dapat dijadikan iktibar buat dirinya dan orang sekeliling.
Betapa jika ketika hayat melakukan banyak amalan kebaikan, ALLAH SWT
akan memudahkan urusan dunia dan akhirat. Contohnya, urusan
menggali kubur dan mengebumikan mayat menjadi sangat mudah dan lancar.
“Kejadian yang tak dapat dilupakan bila
saya pernah diminta membawa van jenazah seorang imam ke Muar, Johor.
Sebelum itu, arwah ada menyatakan hasrat untuk dikebumikan
sebelum solat Jumaat.
“Perjalanan seolah-olah dipermudahkan
apabila lampu isyarat bertukar hijau sepanjang perjalanan dan
sedar-sedar, sudah tiba di destinasi dalam masa 55 minit sahaja.
Sedangkan perjalanan balik semula ke Shah Alam, ambil masa lebih tiga
jam,” katanya.
Bakti Sri terhadap masyarakat
bagaimanapun masih disedari pihak berkaitan. Walaupun tidak pernah
menaruh harapan untuk mendapat balasan atas khidmat dilakukan kepada
masyarakat, Sri pernah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK)
daripada Sultan Selangor.
Dia turut menerima sijil tertinggi dalam
bidangnya iaitu Kursus Pengurusan Jenazah Perdana dan meraih Pekerja
Perkhidmatan Cemerlang MBSA pada 1999 dan 2009.
“Walaupun ada yang anggap tugas penggali
kubur ini kerja tak glamor dan ditolak ramai orang, saya bersyukur
sebab dapat dua gaji.
“Satu gaji di dunia dan satu
lagi, gaji di akhirat insya-ALLAH,” ujar Sri yang sudah
menganggap tanah perkuburan adalah kampung halaman yang sentiasa dekat
di hatinya.
No comments:
Post a Comment