Wednesday, July 10, 2013

Mendapat Petanda Pemergian Arwah Pakcik


Hai KC, Selamat tengah malam.
 
Saya Nurul dari JB. Kisah ini berlaku 16 tahun yang lepas. Ketika itu saya masih bersekolah rendah. Pada malam itu hujan turun agak lebat. Sekitar pukul 8.30 malam, tiga orang anggota polis datang ke rumah dan memberitahu bahawa pakcik saya iaitu adik kepada bapa saya mengalami kemalangan jalan raya. Bapa saya mengikut anggota polis tersebut ke hospital dan meninggalkan emak bersama kami tiga beradik. Oleh kerana hujan lebat dan bapa pun tiada di rumah, kami masuk tidur lebih awal manakala emak masih berjaga menunggu bapa pulang dari hospital. 
 
Sebenarnya pakcik saya ni rapat sangat dengan emak saya selaku kakak iparnya. Walaupun seorang yang baran, degil, nakal dan gila-gila, apabila dengan mak saya, pakcik menjadi adik yang paling baik sehingga emak saya sayang dia seperti adik kandung sendiri. Adik beradik bapa saya sudah kehilangan ibu (nenek saya) jadi, selaku anak bongsu, pakcik saya menumpang kasih dengan emak. Pakcik saya dah banyak kali kemalangan dengan motor besarnya. Seminggu sebelum kejadian, pakcik saya baru sahaja mengalami kemalangan di Jalan Skudai menyebabkan tangannya patah. Emak dan bapa seperti sudah biasa dengan keadaan itu.
 
Tapi malam itu, keadaan tidak seperti biasa. Sekitar jam 11.30 bapa masih lagi tak pulang dari hospital. Masa itu penggunaan telefon bimbit belum lagi meluas. Ketika ibu saya sedang duduk di birai katil menunggu bapa, dia terdengar pintu rumah diketuk sebanyak tiga kali. Emak saya bergegas berjalan ke ruang tamu. Emak saya tak terus buka. Dia menunggu lagi ketukan seterusnya tapi senyap. Emak saya menyapa, "Siapa?" Senyap. Sekali lagi emak bertanya tetapi tiada sahutan. Emak tak jadi hendak buka pintu sebab kalau bapa yang pulang mesti dia beri salam dan panggil nama emak. Emak masuk semula dalam bilik. Dia tidak akan buka pintu sembarangan lebih-lebih lagi hampir ke pukul 12 tengah malam.
 
Tiba-tiba emak terdengar sesorang memanggil namanya dari halaman rumah. Nada panggilan itu seperti biasa orang memanggil kita dari luar rumah. Emak hendak menyahut dan membuka pintu sebelum dia perasan yang suara itu seperti suara jiran di hadapan rumah kami yang sangat rapat dengan mak tetapi jiran itu dah meninggal beberapa tahun lepas. Emak terkedu, memasang telinga, dadanya berdebar-debar. Suara panggilan itu seperti mengelilingi kawasan rumah seolah-olah orang yang memanggil bertawaf satu halaman sambil memanggil nama mak. Emak mula takut dan tiba-tiba suara itu bertukar menjadi suara kicauan burung dan hilang ke atas bumbung rumah.
 
Dalam keadaan ketakutan, emak terasa seseorang tiba-tiba duduk di sebelahnya di birai katil. Dada emak berdebar dan perlahan-lahan dia menoleh, di sisi emak, arwah nenek (ibu kepada bapa saya) sedang duduk di sebelahnya sambil tersenyum. Wajah nenek bersih dan memakai telekung putih yang bersinar. Tangan nenek memegang tangan emak dan emak merasakan tangan nenek sangat sejuk. Tiba-tiba emak terdengar nenek berkata sesuatu tapi mulut nenek tidak bergerak dan hanya tersenyum. "Jangan takut. Dia cuma nak bagi tahu. Miah, Mamat dah tiada.." Emak pasti itu yang nenek katakan tapi mulut nenek tak bergerak. Tiba-tiba, terdengar suara bapa memanggil emak sambil mengetuk pintu serentak itu juga, nenek hilang dari pandangan emak. 
 
Memang betul, sebaik sahaja bapa masuk ke rumah dia memberitahu emak yang pakcik saya Mamat, disahkan meninggal dunia sekitar jam 11 malam akibat kecederaan teruk di bahagian perut. Semasa dalam keadaan nazak, arwah berbisik kepada bapa saya supaya menyampaikan salamnya kepada emak.
 
Arwah pak cik saya suka sangat dengan sambal tumis yang emak saya masak kerana emak suka meletakkan bawang besar yang dipotong-potong ke dalam sambal. Genap empat puluh hari arwah meninggal, emak saya berada di dapur sedang menumis sambal untuk sarapan nasi lemak keesokan paginya. Bapa saya berada di ruang tamu menonton televisyen rancangan larut malam. Dulu rumah saya rumah papan dan dapur di bahagian belakang. Tempat memasak adalah betul-betul di tingkap yang menghadap kawasan belakang rumah dan tingkap tersebut dan papan dinding dapur pula jarang-jarang. 
 
Ketika emak sedang menuang sambal yang telah dimasak ke dalam mangkuk, tiba-tiba emak teringat kepada arwah pakcik saya. "Eh, ini kalau arwah ada, dia memang suka sambal ni..." Emak saya bercakap sendiri. Tiba-tiba emak terbau sesuatu seakan-akan kapur barus dan bau lumpur yang kuat. Serentak itu emak ternampak ada mata yang sedang mengintainya dari celah-celah tingkap yang renggang. Emak saya terkejut, kuali hampir terlepas. Dengan segera emak berpusing untuk meninggalkan dapur dan ketika melepasi papan dinding dapur yang renggang, emak ternampak kelibat orang berjalan di bahagian luar dapur. Emak beristighfar dan terus berlari ke arah bapa di ruang tamu. 
 
Begitulah kisah benar yang dialami oleh emak saya enam belas tahun yang lepas. Siapa yang mengintai emak dari celah ringkap? Wallahu'alam. Al-Fateha untuk arwah pakcik saya Rahmad Bin Yahaya yang kembali ke rahmatullah pada usia 26 tahun. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Amin.
 
TERIMA KASIH NURUL!!!

No comments:

Post a Comment