Wednesday, July 10, 2013

Saka Nenek Masih Mengganggu


Assalamualaikum Wr Wb kepada DJ bertugas, 

Nama saya Ellah. Memang banyak kisah hantu dan misteri kalau nak diikutkan, tapi saya akan cerita pengalaman yang pertama bila saya diberitahu bahawa saya didampingi sesuatu. Kisahnya begini.

Beberapa tahun lepas, saya telah pergi bercuti ke salah sebuah pulau di Asia Tenggara ini dengan tiga orang teman saya. Semasa berada di sana, ada juga perkara yang aneh dan pelik berlaku tapi, kami tidak hiraukan sangat. Maklumlah, "benda-benda" ni di merata tempat, dalam dan luar negeri jadi tak payahlah nak dikhuatirkan sangat. Saya mengaku, sebelum perkara ini, saya ni memang tak berani tapi saya juga tak kuasa dengan perkara pelik ini semua. Pada saya, mereka wujud; hanya mereka ghaib. Dan benda-benda yang ghaib ni, tak usahlah kita fikirkan melebih-lebih. Jadi sepulangnya saya dan rakan-rakan ke Singapura, saya rasa ada sesuatu yang tak kena. Seperti saya sering merasakan bahawa saya diekori seseorang, atau lebih tepat lagi sesuatu. Dah namanya ghaib, saya pusing lihat kiri, kanan, depan dan belakang, memanglah tak nampak apa-apa. Tapi rasa seram itu masih ada. 
 
Satu hari, dengan izin Allah, saya bertemu dengan seorang pakar kerana saya pernah meluahkan hasrat kepada seorang rakan saya tentang perasaan yang tak enak ini. Alhamdulillah, saya berkenalan dengan pakar ini (Pakar A) dan pergi berkonsultasi dengannya. Alangkah terperanjatnya saya bila dia keluarkan sesuatu dari badan saya dan pindahkan ke badan seorang pakar lagi satu (Pakar B) untuk soal-siasat. Kenangkan balik, perasaan takut dan gementar ada dalam hati kerana dalam kepala saya, saya bertanya: "Apa benda ni?? Ni buat-buat ke betul?" Saya begitu sangsi dan ragu-ragu. Seperti mana saya katakan awal tadi, saya memang tak kuasa dengan benda macam ini. Suka dengar cerita-cerita hantu bila kawan-kawan berkongsi dan ada juga ikut kawan kawan yang lain pergi "adventure". Tetapi setakat itu sahaja. 

Balik kepada cerita, saya disuruh tanya soalan kepada jin ini yang sedang berada dalam jasad Pakar B. Jadi saya tanyalah, kenapa dia ada dalam badan saya, apa dia nak, dan lain-lain soalan umum. Oh, sebelum saya lupa, sebelum dimasukkan jin kepada badan pakar B ini, pakar B memang orang yang badannya tegap dan segak tetapi setelah jin itu masuk ke dalam tubuh Pakar B, Pakar B terus menjadi lemah longlai dan seperti orang tua. Saya rasa pakar A tu tak sabar dengan saya lalu dia bertanya kepada jin. Siapakah dia dan siapa menghantarnya. Apa urusan dia dengan saya. 

Alangkah terperanjatnya apabila Jin tu menjawab bahawa dia adalah saka dari arwah nenek saya. Dipendekkan cerita, setelah mendapat tahu tentang hal ini, saya ada menyelidik latar belakang keluarga saya kerana saya diberitahu bahawa saka ni sebenarnya jin yang turun-temurun oleh ahli keluarga. Wallahua'lam. Rupa-rupanya, bukan ada satu sahaja tetapi ada dalam kurang lebih tiga jin dalam badan saya ketika itu. 

Perkara ini buat saya runsing, buat saya terfikir. Mungkin sebab itu, saya dapat merasakan kehadiran makhluk ghaib terutama sekali bila saya sendiri, saya akan menangis teresak-esak kadang-kadang dengan tanpa sebab, saya akan mendapat mimpi-mimpi pelik. Apabila saya membaca tentang tanda-tanda orang yang di dalam badannya ada Jin, saya terperanjat dan rasa cuak. 

Sampai ke hari ini, saya dimaklumkan bahawa saka arwah nenek masih ada dengan saya dan akan sering mengganggu saya kalau saya tidak memberi kata putus yang saya akan pelihara saka ini. Saya dah tekad. Saya tak akan pernah ambil benda ni. Sepertimana yang diberi kepada nenek saya dahulu tanpa pengetahuan nya, dan seperti mana dia mengganggu nenek semasa nenek masih hidup kerana nenek juga tidak mahukannya, begitulah yang akan saya lakukan dan lalui. 

Dalam mimpi, banyak kali "dia" menjelma. Saya tahu itu dia kerana dia marah-marah dengan saya dan dia juga pernah memberi amaran yang dia akan tetap membuat kacau-bilau dalam kehidupan saya. Tapi saya tak hiraukan. 

Memang saya tak salahkan semua yang mendengar termasuk KC (atau DJ yang tertugas) kalau rasa cerita saya ni dongeng. Saya sendiri rasakan benda ni dongeng, tapi, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Tapi yang sememangnya benar, tetap akan jadi benar dan yang bathil itu pasti suatu hari akan musnah. Yang penting, hati ingat pada pencipta kita dan dengan izinnya juga, hidup kita lebih diberkati. Amin, InsyaAllah. 

Selamat malam dan terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk mengetengahkan cerita saya ini. 
TERIMA KASIH ELLAH!!!

No comments:

Post a Comment