Wednesday, July 10, 2013

Jeritan Di Hostel


Assalamualaikum KC, 
Harap KC dan pendengar MJ12 sihat sejahtera. Saya nak berkongsi kisah seram yang dialami sendiri oleh saya sewaktu menuntut di sebuah institut pengajian tinggi di selatan Malaysia. Ketika kejadian ini berlaku, kelilingnya merupakan ladang kelapa sawit dan kawasan penempatan baru sedang naik di hadapan institut tersebut dan kisah kepala terbang, gangguan histeria sedang hangat diperkatakan.

Malam kejadian itu, jam melewati tengah malam dan saya bersama sekitar lima atau enam orang teman sedang berkumpul di kaki lima hostel di depan bilik salah seorang dari kami dan bersembang tentang kisah kepala terbang yang saya nyatakan tadi. Diceritakan, kepala tersebut lebih dari satu dan bercahaya menghantui taman perumahan baru berhampiran institut kami. Hostel kami sangat besar, setinggi empat tingkat tetapi cuma dua tingkat bawah yang berpenghuni. Bermakna dua tingkat yang atas memang gelap dan sering menimbulkan perasaan seram tatkala mendongak ke atas.

Saat rancak berbual, tiba2 entah mengapa saya terdorong untuk mengerling tingkat atas yang tak berpenghuni, alangkah terperanjatnya saya bila saya seolah olah terlihat satu susuk putih sedang mengintai kami dari balik tiang. Saya cuba kawal diri, tidak menegur dan tidak beritahu kepada teman. Kami masih berbual dan beberapa kali saya terlihat kilasan kain putih dengan sangat laju melintas beberapa kali di ruang udara dan serentak itu, satu bau wangi tehidu oleh saya dan saya perhatikan kawan2 mula teragak2 dan memandang saya dengan muka cemas.

Ketika saya baru nak membuka mulut mengajak teman masuk bilik untuk tidur kami terperanjat kerana terdengar satu suara tempikan yang sangat kuat. Kami kelam-kabut berasak masuk ke dalam bilik teman kami dan saya tutup lampu bilik dengan pantas dan terus mengintai dari celah langsir mencari dari mana arah datangnya bunyi itu. Menghairankan kerana penghuni hostel sebelah juga sedang mengintai seperti kami. Minggu itu merupakan minggu peperiksaan jadi memang ramai dari kami yang belum tidur untuk mengulangkaji pelajaran. Suara tempikan yang kami dengar seolah2 tinggi di udara dan berlangsung selama lebih kurang 15 minit. Apa yang saya boleh gambarkan suara itu mulanya mengilai ketawa kemudian menjerit persis kemarahan dan sesekali kesengaran sayu hiba meleret-leret.

Tuhan sajalah yang tahu betapa takutnya kami saat itu. Lama kami tak bergerak sehinggalah bunyi itu senyap dan antara seram dan terpinga-pinga kami pulang ke bilik masing2. Malang bagi saya kerana terpaksa tidur sendirian malam itu.kebetulan teman sebilik saya mengulang kaji di bilik temannya di aras bawah. Saya sendiri tak nampak "benda" yang mengilai itu tapi ada penghuni hostel pada malam kejadian yang nampak "benda" itu dan beritahu "benda" itu seakan objek bulat bercahaya yang terapung tinggi di udara!

Kejadian itu tidak berakhir di situ, sepanjang minggu itu sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali kejadian yang sama berulang dan saya sendiri pernah mendengarnya beberapa hari selepas itu sewaktu sendirian di bilik hostel tepat pukul 3 pagi.

Sekian...

Hidayah, Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment