Sunday, July 14, 2013

Terserempak Kak Pon Sewaktu Perkhemahan


Salam DJ KC dan semua pendengar-pendengar MJ12 di Singapura dan di Malaysia,

Saya dilahirkan dan dibesarkan di Singapura dan kini telah pun bermastautin di Malaysia dan menjadi warganegara Malaysia. Kisah-kisah yang berlaku adalah dari pengalaman benar saya.

Kisah ini berlaku di Singapura, ketika saya berusia 13 tahun semasa saya dan rakan-rakan sekolah menyertai kem NCC (National Cadet Corps) pada tahun 1986. Untuk yang tidak berapa tahu apa itu NCC, ianya adalah satu pasukan tentera yang ditubuhkan buat pelajar-pelajar sekolah yang menyertai pasukan seragam sebagai kegiatan luar darjah. Beberapa buah sekolah lain juga turut menyertai kem yang dianjurkan pada hujung tahun itu iaitu di kem Loyang yang berada di kawasan timur Singapura. Sekarang ini, tempat itu telah pun dibangunkan sebagai estet perumahan Pasir Ris. 

Pada malam pertama, kami disuruh untuk melakukan aktiviti malam di hutan berdekatan dengan kem. Ianya adalah latihan untuk kami membiasakan diri pada persekitaran malam dalam suasana yang sunyi seperti "night camouflage". Sebelum berangkat keluar ke hutan berdekatan, kami semua telah berkumpul di luar berek tempat kami menginap untuk mendengar taklimat. Sedang asyik kami mendengar taklimat, tiba-tiba saya telah terperasan seperti ada kelibat yang terbang begitu laju sekali di hadapan tempat kami duduk. Ianya terbang dari pokok berdekatan dan masuk melalui pintu masuk ke berek tempat kami tinggal. 

Seminit kemudian, saya terperasan juga ianya terbang keluar semula dan hilang begitu sahaja. Saya jadi kehairanan kerana kelibat yang saya nampak tadi seolah-olah seperti cahaya kilat tetapi apabila saya mendongak ke arah langit, tidak ada tanda-tanda seperti nak hujan. Saya sangka cuma saya seorang saja yang melihatnya, tetapi seorang dari rakan saya, Jas, yang duduk bersebelahan saya pun terlihat sama. Dia menyuarakan kepada saya apa yang dilihatnya tadi dan saya pun mengiakan sahaja kerana teringat pesanan orang tua-tua kalau ternampak apa-apa pada waktu malam di tempat asing jangan sekali-sekali kita tegur. Nanti akan ditimpa kecelakaan atau pun sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. 

Selesai saja taklimat, kami semua pun mula bergerak ke dalam hutan bersebelahan dengan kem kami. Kami yang seramai 21 orang ini telah dibahagikan kepada tiga orang dalam sepasukan untuk pergi menyorok atau pun "camouflage" di tempat yang berasingan. Kami harus tetap di dalam tempat persembunyian kami selama sejam hinggalah wisel dibunyikan untuk kami semua keluar. Sewaktu kami sedang dalam persembunyian, tiba-tiba terdengar jeritan, "Pontianak! Pontianak! Pontianak!" dari salah seorang rakan kami. Di dalam kegelapan dan malam yang sunyi itu, kami dapat mendengar teriakan rakan kami dengan jelas sekali walaupun beliau berada jauh dari kedudukan kami. Tiba-tiba, kami ternampak sekumpulan mereka bertempiaran melarikan diri keluar dari tempat persembunyian masing-masing dan menuju ke arah kami. 

Saya pun dengan tidak berlengah lagi keluar dari tempat persembunyian saya dan menahan salah seorang dari rakan saya itu yang mula tersungkur di depan kami. Mukanya cemas dan nafasnya tercungap-cungap. Saya mententeramkannya dan bertanya apa yang telah berlaku. Dia menjawab, "Tadi sewaktu kita sedang bersembunyi, tiba-tiba, si Din ternampak bayang putih terbang dekat pokok tu, sambil jarinya menunjuk ke arah pokok itu yang terletak di atas bukit. Lepas tu, aku dan Man pun nampak jugak", kata Noh. "Bila kita dah ternampak lembaga putih tu, katanya, kitaorang pun terkaku dan tergamam seketika. Tiba-tiba, lembaga putih tu mula mendatangi kitaorang sepantas kilat. Apalagi, aku pun menjeritlah, dan berlari keluar diikuti Din dan Man", kata Noh lagi.

Sewaktu kejadian tadi berlaku, kami semua telah pun bersembunyi lebih kurang 15-20 minit sahaja dari masa yang ditetapkan. Ketua kami yang mendengar segala kekecohan tadi itu terus meniupkan wisel dan menyuruh kami semua keluar dari tempat persembunyian masing-masing dan berkumpul. Sedang si Noh menjelaskan apa yang berlaku kepada ketua kami, tiba-tiba, saya ternampak 'Fatimah Rockers' yang dikatakan mengganggu mereka tadi sedang 'gliding' atau terapung perlahan menuju ke arah kami. Saya nampak amat jelas sekali bajunya yang putih dan rambutnya yang mengurai panjang. Saya mula menggosok-gosok mata saya dan mencubit pipi saya untuk melihat sama ada ianya benar berlaku atau tidak. Bukan saya seorang saja yang nampak malah Jas, Yus, Din, Man, Noh, Khalid dan rakan-rakan yang lain turut ternampak 'Kak Pon' itu. Apalagi, kami pun semua menyuruh ketua kami beredar dari tempat itu dengan segera dan pulang ke kem. Ketua kami yang mulanya berang dengan sikap kami tadi yang membuat bising sewaktu persembunyian, pun bersetuju untuk pulang ke kem. 

Nak tahu apa yang terjadi sewaktu kami sedang dalam perjalanan pulang ke kem? Kak Pon tadi telah mengilai dan ketawa seperti mengejek-ejek pada kami. Kami tidak langsung mengendahkan apa yang sedang kami lalui waktu itu dan terus membuka langkah seribu. Jadi, terjawab sudah persoalan saya, iaitu, kelibat atau cahaya kilat yang saya dan Jas nampak mula-mula itu rupa-rupanya adalah 'Kak Fatimah Rockers' yang telah pun memberikan petanda awal kehadirannya pada malam itu. 

Itulah pengalaman pertama saya yang masih segar lagi diingatan saya hingga ke hari ini. Insya'Allah, saya akan berkongsi lagi pelbagai pengalaman seram saya yang benar-benar berlaku di Singapura mahupun di Malaysia dengan KC dan pendengar-pendengar semua.

Sekian, wasalam.

No comments:

Post a Comment