Wednesday, July 10, 2013

Makhluk Bertenggek Atas Kenderaan Di Kranji


Assalammualaikum
Nama saya Muhammed Hairulnizar Bin Hj. Hamim. Disingkatkan anda boleh panggil saya Hairul. Saya adalah pendengar baru MJ12. Saya tahu akan kewujudan rancangan ini tetapi terus terang saya tak pernah dan tak berani mendengarnya kerana saya mempunyai sifat yang suka teringat-ingat dan terbawa-bawa akan sesuatu cerita hantu ataupun sesuatu benda misteri yang telah berlaku. Akan tetapi setelah ditugaskan oleh pegawai atasan untuk saya bekerja secara tetap pada syif sebelah malam, saya mula beranikan diri untuk mengikuti rancangan ini setelah desakan demi desakan oleh dua lagi rakan setugas. Alhamdulillah, hari demi hari saya amat tertarik kepada rancangan ini dan sekarang telah masuk bulan ketiga saya mengikuti rancangan ini.
Cerita yang ingin saya kongsi bersama para pendengar MJ12 berlaku kira-kira dua tahun yang lalu. Begini ceritanya. Saya bertugas di salah sebuah syarikat keselamatan yang terkemuka di negara ini. Tugasan harian saya menghantar dan juga mengambil wang ataupun barangan berharga dari klien-klien syarikat saya untuk dihantar ke bank ataupun destinasi yang telah ditetapkan. Kami bertugas secara bertiga dalam satu kumpulan. Pemandu, pegawai transaksi dan juga pengawal. Seharian kami bertiga akan berada di luar untuk melaksanakan tugas yang selalunya akan menjangkau sampai ke tiga puluh tempat. 
Dipendekkan cerita, pada hari tersebut setelah melakukan tugas hampir kesemuanya saya dan teman sekumpulan tiba di lokasi terakhir kami iaitu di KRANJI. Tempat yang kami berada itu terletak di tepi jalan raya berdekatan dengan gelanggang lumba kuda dan juga bersebelahan dengan kawasan perkuburan mangsa perang di Kranji. Ramai di antara kami tahu akan suasana di tempat itu dengan pokok-pokok yang besar dan suasana yang amat sunyi dan menyeramkan pabila senja menjelang, apatah lagi dengan cerita-cerita seram yang telah dialami dan dikongsi bersama oleh petugas di sana. Waktu menunjukkan jam 7:30 malam dan kami tiba awal, kira-kira setengah jam dari masa yang telah ditetapkan. Seperti yang selalu saya lakukan, saya telah menghentikan lori di selekoh masuk di belakang pondok tersebut dan tidak berhenti di bahu jalan kerana saya tidak mahu menghalang lalulintas. 
Seperti kebiasaan, saya nyalakan lampu "hazard" dan juga lampu "blinker" untuk memberi isyarat kepada petugas yang berada di pondok tersebut akan kehadiran kami. Setelah selama sepuluh minit menunggu, tiba-tiba saya terhidu bau yang teramat busuk di dalam lori. Sangkaan saya, antara salah seorang daripada teman saya telah mengeluarkan angin. Dengan selamba saya cakap, "Eh lu orang mau kentut pun agak2lah. Kan boleh keluar lori..." Dua-dua tak mengaku. Saya malas nak layan saya pun turunkan tingkap lori untuk menyedut udara luar pula. Sejurus setelah saya turunkan tingkap, bau wangi yang teramat harum pula yang masuk ke dalam. Kami bertiga melihat antara satu dengan lain tanpa berkata apa2. Ya Allah, bulu roma saya meremang seketika. Kami tidak melakukan apa-apa ataupun berkata. Untuk hilangkan rasa takut saya cuma dapat membaca surah-surah yang saya tahu di dalam hati. 
Tidak lama kemudian ada sebuah motorsikal dari Malaysia yang datang melintas lori saya. Penunggangnya perlahankan motosikalnya dan melihat ke arah saya. Selepas itu dia memandang ke arah atas iaitu ke arah atas kabin lori saya. Mukanya seakan terperanjat. Dia terus memecut. Saya dah mula rasa tak sedap dan cuba menenangkan rakan-rakan yang lain. Sejurus selepas itu, kelihatan sebuah motosikal yang lain datang melintas. Kali ini penunggangnya berhenti agak jauh dari lori kami. Sambil membuat muka yang mengerikan penunggang itu melihat ke arah kami dan menunjukkan kami seolah-olah ada benda yang sedang bertenggek di atas kabin lori kami. Penunggang itu memekik lalu memecut pergi. 
Keadaan seakan kelam kabut. Saya dah tak boleh tahan lagi rasa ketakutan lalu meninggalkan tempat tersebut. Allah sahaja yang tahu perasaan kami bertiga pada saat itu. Muka semua dah mula pucat. Saya membuat keputusan untuk membuat satu pusingan dan kembali ke tempat tersebut. Tetapi kali ini saya memberhentikan lori di tepi jalan dan tidak berani memandang ke arah tempat yang saya berhenti awal tadi. Walaupun saya tidak bersemuka dengan makhluk tersebut, tetapi pengalaman menyeramkan ini tidak dapat saya lupakan dan akan terus berada di ingatan saya buat selamanya.
Terima kasih... Sekian...

No comments:

Post a Comment