Wednesday, July 10, 2013

Pengalaman Di Rumah Lama Di Bukit Batok


Assalamua'laikum Abang KC & pendengar-pendengar MJ12,
 
Saya harap Abang KC dalam keadaan sihat & sejahtera. Nama saya Danish, dan saya adalah peminat setia MJ12. Saya seorang warga Singapura yang telah berpindah ke Gelang Patah, Johor. Pengalaman saya ini berlaku ketika saya tinggal di rumah kedua saya di Bukit Batok. Saya telah tinggal di Bukit Batok selama empat belas tahun, semenjak saya berusia tiga bulan.
 
Ia mula-mula berlaku ketika saya berusia sebelas tahun. Kami sekeluarga tidak merasakan apa-apa ketika tinggal di rumah itu sehingga adik saya mengalami sakit demam yang teruk. Suhu badannya sering naik sehingga hampir 40 darjah selsius walaupun kami telah menghantarnya berjumpa dengan doktor. Bukan saja demam tinggi, malah adik saya sering mengigau dan akan berjalan dalam tidur. Wajahnya seakan-akan seperti seekor monyet. Adik saya tidak akan berdiri dengan tegap dan akan menunjukkan giginya. Tetapi, kami sekeluarga tidak mengesyaki apa-apa. Beberapa hari setelah adik saya mengalami sakit demam, satu-persatu anggota keluarga saya termasuk saya akan jatuh sakit secara selang-seli. Setiap bulan pasti ada orang di dalam rumah akan mengalami sakit demam ataupun cirit-birit, sakit kepala yang teruk & sebagainya. Tetapi, keadaan adik saya yang paling teruk.
 
Saya juga sering merasakan bahawa ada seseorang yang akan memandang dan melihat saya dari belakang walaupun saya tahu, di belakang saya, tidak ada orang pun. Saya juga tidak berasa tenteram jika saya terjaga pada waktu malam ataupun ketika saya sedang mendengar MJ12. Kadangkala, kami akan berasa panas di rumah & kadangkala, barang akan hilang dan hanya akan dijumpai di tempat yang telah kami cari setelah ibu saya berleter. Nasi dan lauk-pauk juga senang basi, walaupun kami akan panaskan pada waktu pagi sebelum ke sekolah. Kami berasa aneh kerana sebelum ini, tidak pernah kejadian-kejadian ini berlaku.
 
Akhirnya, ketika saya berusia empat belas tahun, kami pun meminta tolong daripada seorang ustaz di Woodlands. Ustaz itu menyuruh saya dan adik saya menulis nama penuh, alamat dan nombor kad pengenalan. Ustaz itu menggunakan sesuatu yang berbentuk berlian akan membaca dan memegang benda itu ke arah kertas itu. Tiba-tiba, benda itu bergoyang-goyang apabila ustaz itu memegang benda itu ke arah alamat yang ditulis. Ustaz itu pun mengatakan bahawa ada sesuatu makhluk atau lembaga yang telah menetap dengan kami selama tiga tahun tanpa kami sedari. Semua yang berlaku selama tiga tahun itu adalah kerana angkara benda itu. Ustaz itu pun mengatakan bahawa benda itu telah duduk di bilik yang ada komputer. Saya terkejut kerana bilik yang ada komputer itu adalah bilik yang telah saya kongsi bersama adik saya. Setelah itu, barulah ibu dan adik saya ceritakan pengalaman mereka di rumah.
 
Ibu saya kadangkala akan tidur di bilik saya setelah pulang dari tempat tugas dan akan tidur sehingga ayah saya pulang pada sekitar jam 8 malam kerana berasa terlalu penat. Dia menceritakan bahawa dia merasakan kakinya disentuh beberapa kali, tetapi saya dan adik saya tidak berada dalam bilik. Adik saya pula menceritakan bahawa dia pernah ternampak sesuatu di bawah katil ketika bersolat jemaah dengan saya dan ayah dan semenjak itu, dia tidak mahu berdiri dekat dengan katil.
 
Tetapi, Alhamdulillah, dengan pertolongan ustaz itu, semuanya telah beransur pulih. Setelah sebulan dirawat, kami pun berpindah ke rumah yang baru di Jurong sebelum berpindah ke Johor.
 

No comments:

Post a Comment