Wednesday, July 10, 2013

Jiran Yang Bela Saka


Assalamualaikum KC dan para pendengar Misteri Jam 12, 
 
Saya bernama Raiz, berasal di Pasir Mas, Kelantan. Saya hanya dengar MJ12 dalam Youtube dah setahun saya minat mendengar MJ12 dan ingin kongsi pengalaman saya kisah 13 tahun yang lalu. Jiran sebelah rumah saya ni dulu, tinggal sepasang suami isteri dan dua orang cucu angkatnya. Namanya Mak Ti dan suami Pak Yusop. Mak Ti ini ada membela hantu raya. Suaminya sendiri yang beritahu datuk dan nenek saya yang isterinya ni ada saka hantu raya. Sampai suaminya tinggalkannya dan berkahwin dengan perempuan lain sebab tak tahan dengan saka Mak Ti ni. Mak Ti ni juga ada bela seekor anjing. Walaupun dia islam, tak pasti kenapa dia bela anjing. Dulu-dulu waktu saya kecil, mak saya tak bagi saya masuk dalam kawasan rumahnya, yelah rumah kampungkan tiada pagar.

Jadi setiap petang, Mak Ti ni akan duduk bersila depan pintu rumah sambil berkemban. Tak tahu apa motifnya. Masa dia sedang duduk, mesti akan terdengar dirinya berdengus banyak kali. Bunyinya agak menakutkan juga. Semua orang dalam rumah saya memang banyak kali jumpa hantu raya Mak Ti ni, termasuk mak saya. Mak saya ceritakan, pada satu malam dia di dapur, tiba-tiba mak saya ternampak ada orang tua memakai baju hitam, sedang terbongkok-bongkok macam sedang mencari sesuatu atas tanah, padahal, di belakang rumah saya memang orang tak boleh lalu, sebab kami dah tutup tembok kiri dan kanan. Kalau nak pergi belakang kena ikut pintu dalam rumah. Sewaktu orang yang memakai jubah hitam ni sedang berjalan terbongkok-bongkok, mak saya terdengar dia sedang mendengus-dengus. Pakcik saya pun pernah ternampak juga, masa itu dia balik malam, masa nak masuk rumah, ternampak di depan rumah kami ada lembaga hitam sedang duduk mencangkung, tak nampak kepala, macam dia menutup semua kepala dengan kain warna hitam. Saya pun tak pasti apa makhluk itu. Pakcik saya ni berani sikit, dia buat tak endah terus masuk ke dalam rumah.

Dan yang saya tak boleh lupakan, saya sendiri yang mengalaminya. Masa itu saya menangis sebab kena marah dengan emak. Umur saya ketika itu sekitar 12 tahun. Pada pukul 12 malam, saya duduk di ruang tamu seorang diri sambil menangis, boleh tahan kuat juga saya menangis, saya menangis betul-betul di sebelah tingkap (kalau buka, dah nampak rumah Mak Ti) semua anggota keluarga saya dah masuk tidur, tak perasan yang saya menangis. Masa saya menangis tiba-tiba, saya terdengar suara dari luar rumah, dari arah rumah Mak Ti (rumah Mak Ti ni di sebelah kanan rumah saya). Saya dengar ada suara sedang ikut saya menangis, tapi suaranya macam mendayu-dayu dan pelik sedikit. Saya tiba-tiba terdiam. Saya dengar betul-betul, memang bukan suara manusia menangis. Tiba-tiba mak saya keluar dari bilik, sebab dia terdengar benda yang sama. Dia cepat-cepat menyuruh saya masuk bilik dan tidur dengannya. Ada lagi sebenarnya yang berlaku pada keluarga saya selepas itu. Sampai Mak Ti meninggal pun ada lagi gangguan. Sampai di sini sahaja saya berkongsi pengalaman. 
 
Sekian terima kasih...
 

No comments:

Post a Comment