Selamat tengah malam kepada DJ yang
bertugas,
Terlebih dahulu, janganlah didedahkan nama
asal saya. Izinkan saya menggunakan nama samaran, panggil saja saya
Jelutupi @ Jelu. Berasal dari Sarawak, dan mempunyai kisah pendek yang
seram.
Saya berketurunan Iban, bekerja di daerah
Kuching, Sarawak. Saya mempunyai kampung halaman, di
daerah Sri Aman, merupakan rumah panjang. Pada masa kejadian ini
berlaku, saya baru berusia dalam 15 tahun. Masa itu, perkampungan kami
masih lagi menggunakan api pelita (tiada elektrik).
Pada satu malam, terjadi satu kejadian yang
menyedihkan di mana seorang wanita mati ketika hendak melahirkan anak.
Anaknya juga meninggal kerana tidak sempat dilahirkan. Dikatakan juga
bahawa wanita ini bukannya kosong (ada mengamal ilmu hitam). Pada waktu
itu, suaminya yang masih dalam keadaan bersedih mengatakan bahawa mayat
isterinya harus dikebumikan secepat yang mungkin. Apa sebabnya, saya pun
tidak berapa tahu.
Malam itu juga, oleh kerana tidak sempat
menyediakan keranda, kami terpaksa membawa mayat wanita tersebut ke
kawasan perkuburan yang terletak agak jauh dari kampung kami, dengan
hanya menyimpannya ke dalam keranda buatan yang diperbuat daripada
papan. Badannya dibungkus dengan tikar ‘bemban’ (sejenis tikar anyaman),
dan kemudiannya diusung beramai-ramai. Saya hanya membawa beg
pakaiannya sahaja, dan yang lain membawa barang-barang harian si mati
seperti tilam, bantal, dan sebagainya.
Hujan mulai turun, tidaklah selebat mana,
namun suasana begitu gelap, apatah lagi kawasan yang kami lalui adalah
kawasan hutan, dan kawasan yang sememangnya tiada lampu jalan untuk
menerangi seluruh tempat. Gelapnya semacam, mungkin kerana hari hujan
tersebut. Sedang kami berjalan mengusung mayat si mati, tiba-tiba
terdengar suara menjerit ketakutan,
“Hoi, hoi.. berhenti hoiii!!!”
Rupa-rupanya, mereka yang mengusung mayat
si mati tiba-tiba dapat merasakan mayat di dalam keranda tersebut
seolah-olah bergerak. Si suaminya, yang turut mengusung mayatnya mula
memanggil-manggil sambil menepuk keranda kayu tersebut,
“Umang, kamukah itu? Kamu masih hidupkah
Umang? Sila jawab, Umang!!!” kata beliau sambil menepuk-nepuk keranda
tersebut. (Umang bukan nama sebenar)
Orang lain kemudian mula mengerumuni
keranda itu dan cuba untuk membukanya, mana tahu si mati belum lagi
mati. Ataupun mungkin dia hidup semula. Namun bila dibuka pintu keranda
kayunya, alangkah terperanjatnya semua apabila disuluh menggunakan lampu
suluh, muka si Umang tetap pucat seperti mayat. Tiada tanda-tanda
pernafasan, nadi atau apa jua tanda yang menunjukkan Umang hidup
kembali. Orang ramai mula panik, berasa pelik. Ada yang berundur ke
belakang.
Pintu keranda kayu itu diketuk semula
menggunakan batu, dan mula diusung kembali. Kali ini, pelbagai andaian
bermain di benak masing-masing. Tiba-tiba, lebih kurang 10 meter sudah
melangkah, kedengaran lagi orang yang mengusungnya menjerit meminta
untuk berhenti. Terasa seperti mayat bergerak-gerak dan mengetuk dari
dalam. Orang ramai sudah mula berasa takut. Jam sudah menunjukkan hampir
tengah malam. Memang adat orang Iban, orang mati harus dikebumikan
waktu siang. Entah kenapa si mati ini harus dikebumikan pada waktu
malam.
Hujan sudah mula reda. Namun cuaca berasa
amat sejuk. Dalam kekalutan tersebut, seorang daripada penduduk kampung,
yang terkenal dengan kehandalannya dalam menangani kes-kes ilmu hitam,
makhluk halus, mula berjalan ke hadapan dan berkata,
“Engkau semua jangan takut. Tunggu
sebentar, nanti aku tengok apa yang aku boleh buat...”
Kemudian dia berjalan ke hadapan, dan duduk
di atas satu tempat sambil menghidupkan rokoknya. Setelah hampir
setengah batang rokok dihisap, dia pun berkata, “Baiklah, sekarang
korang semua boleh angkat mayat tersebut dan terus hantar ke kawasan
perkuburan.”
Mula-mula, memang ada yang teragak-agak.
Namun oleh kerana tidak mahu menunggu lama, kami pun terpaksa juga
mengangkat mayat si mati dan langsung ke tempat yang dituju. Sampai
sahaja di sana, kuburnya mula digali, dan dengan usaha orang ramai,
kuburnya siap tak sampai pun sejam. Wanita tersebut terus ditanam, dan
disemadikan di sana.
Selepas kejadian itu, kami semua balik.
Kami masing-masing tidak tahu apa yang berlaku. Mengapa kedengaran bunyi
keranda seperti diketuk dari dalam? Mengapa kedengaran seperti ada
pergerakan? Dan apa yang dibuat oleh orang tua menghisap rokok, dan
terus kejadian tersebut tidak berulang, kami semua tidak tahu. Apa yang
pasti, bagi saya, wanita yang mati ketika beranak, kata orang… akan
berubah menjadi Pontianak. Atau nama penuhnya“Perempuan mati beranak”.
Sekian, terima kasih...
TERIMA KASIH JELU!!!
No comments:
Post a Comment