Sunday, July 14, 2013

Muka Makhluk Bagai Hangus Terbakar...


Assalammualaikum warrahmatullahi wabarakatuh

Nama saya Hafiz, saya merupakan seorang pendengar MJ12 dari Taman Seri Austin, Johor Bahru. Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman menyeramkan yang saya alami pada tahun 2007. Saya baru berusia 15 tahun ketika kejadian itu berlaku. Saya dan keluarga dahulunya tinggal di Kampung Melayu Pandan dan apabila kerajaan mengarahkan kami berpindah, kami telah diberikan tempat tinggal yang baru. Rumah yang baru kami diami itu merupakan rumah flat 4 tingkat di Taman Redang. Saya difahamkan rumah itu telah lama kosong sebelum kami berpindah. Kami tinggal di blok E, betul2 berdepan dengan depan jalan. 

Pada suatu malam, saya terjaga dari tidur, saya tak dapat ingat waktu itu jam berapa tapi saya pasti dalam sekitar 2 pagi ke atas. Saya tidur di ruang tamu sendirian, saya tidak tidur di bilik kerana kepanasan. Ketika saya terjaga dari tidur, saya terperanjat apabila terlihat kelibat susuk berwarna putih berdiri di sebelah peti sejuk di dapur, betul2 berhadapan dengan ruang tamu saya. Saya tak dapat pastikan apa yang saya lihat ketika itu, belum sempat saya habis mengerdipkan mata saya, susuk putih itu secepat kilat datang dan mencangkung di hadapan saya. Rambutnya panjang, matanya merah, mukanya hangus terbakar. Makhluk itu duduk mencangkung dan meneleng-nelengkan kepalanya memandang saya. 

Saya tahu itu adalah makhluk kakak cantik. Saya tidak dapat berbuat apa2, hanya mampu membaca apa yang termampu dalam hati kerana mulut saya bagai terkunci, tak boleh nak bergerak atau menjerit. Dalam beberapa minit saya terpaksa menatap muka hangus itu, kerana mata saya langsung tidak dapat dikerdipkan. Akhirnya, makhluk itu berlalu dan lesap dari pandangan selepas saya berusaha membaca surah2 di dalam hati. Apabila makhluk itu telah pergi, saya terus masuk ke dalam bilik dan tidur di sebelah adik kembar saya. Itulah pengalaman saya di rumah flat yang saya diami. Sekarang saya sudah berpindah ke rumah yang lain.

No comments:

Post a Comment